Khamis, 22 November 2012

Cinta:Penawar atau racun.

Ini kajian mengenai cinta dari sudut Islami dan manusiawi,bukannya jiwangi dan fantasi.Jika anda mencari kisah-kisah tersebut,sila berhenti dari membaca artikel ini.
  
  Bismillah.Saya mengambil tindakan yang agak 'berani mati' dengan menulis tajuk ini.Tapi saya menjadi 'berani mati' kerana ini perkara realiti,hakiki.Hadir dalam setiap makhluk yang bernafas.Setiap makhluk diberi hati,dan sepatutnya di dalam hati itu wujud cinta...


  Izinkan saya menulis dengan mengurangkan ayat-ayat hukum samada dari Al-Quran ataupun As-Sunnah.Cuma sedikit dari sana akan saya datangkan nas yang mengajak kita berfikir.


Apalagi kalau bukan cinta yang mendorong keberanian itu datang.
   
   Pernah anda terdengar kisah seorang lelaki tua menjaga isterinya yang uzur larat sedangkan dirinya juga tidak kurang uzurnya.Seorang ayah yang mati kerana peluru tidak bermata disebabkan melindungi anaknya dari regim pembunuh Zionis.Seorang penuntut ilmu yang mengembara dari negara ke negara ribuan batu dalam keadaan kenderaan yang wujud di zaman itu adalah unta dan kuda.Seorang pemimpin yang gemar keluar malam meninjau keadaan rakyatnya,akhirnya syahid ditikam rakyatnya sendiri ketika solat subuh.Semua kisah benar ini berlaku kepada insan hebat yang dalam hati mereka wujudnya cinta yang mendalam lantas menjadi sumber kekuatan yang tidak mempunyai dasar.


   Kita sememangnya memerlukan cinta.Tetapi kerana perspektif dan propaganda sesetengah pihak,cinta disalah ertikan.Jika anda disuruh melompat dari satu bangunan ke bangunan tanpa sebab yang khusus,adakah sanggup?Tetapi jika anda perlu lompat kerana mahu menyelamatkan ahli keluarga yang terperangkap,adakah situasinya sama?

Hati.                                                
Bab kaya jiwa.

  Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda : "Kaya itu bukan kerana banyak harta melainkan kaya (yang sebenarnya) ialah kaya hati (cukup apa yang ada).Hadis riwayat Muslim.Baik atau jahatnya seseorang insan ditentukan oleh hatinya.Manakala cinta pula menentukan kuat atau lemahnya sesuatu nilai di dalam hati manusia.Saya hadirkan contoh,seseorang yang hatinya baik tetapi lemah cintanya kepada kebaikan pasti tidak kuat dalam melakukan kebaikan.Berbeza dengan mereka yang kuat cintanya kepada kebaikan.Sifir yang sama juga kepada sisi kejahatan.Cinta itu hakikatnya menguatkan sesuatu.Tetapi kenapa ramai dari kita yang menjadi lemah kerana cinta??


  Bagi saya,boleh dipertikaikan sesuatu 'cinta',jika ianya hanya melemahkan pemilik cinta tersebut.Kerana memang telah hadir depan mata saya sendiri,bukti-bukti yang menunjukkan cinta itu menguatkan.


  Orang yang kaya jiwa dan hatinya adalah mereka yang dipenuhi cinta dan membenarkan cinta.Sudah tentunya,cinta yang paling agung adalah cinta kepada yang Esa.Tanpa cinta kepada yang Esa,semua cinta menjadi sia-sia setelah sampai hari yang mana semua makhluk hancur kecuali Dia yang Maha Kekal.


Pembuktian Cinta.

  Antara mereka yang telah berjaya membuktikan cintanya adalah Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s.Saban tahun ketika 'Aidiladha kita mendengar kisah mereka.Kisah mereka diabadikan dan masih berkumandang walaupun ribuan tahun masa berlalu.

  Mereka adalah contoh manifestasi cinta tertinggi.

  Melafazkan kesaksian Laa Ilaaha Illallah bererti meletakkan Allah sebagai keutamaan tertinggi kehidupan. Di dalam bahasa cinta, ia disebut sebagai KHALIL dan KHULLAH. Kedudukan istimewa berkaitan hubungan Ibrahim dengan Allah, demikian juga Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

  Ibrahim sangat mencintai anakandanya.Mendalam.Tulus.Tetapi Allah lebih dicintai oleh Khalilullah ini,mengatasi segala-galanya di dunia.

  Ibrahim tekad melaksanakan perintah Allah membuktikan Ibrahim telah dan terus mencintai Allah, mengatasi segala-galanya, hatta Ismail, si anak, buah hati pengarang jiwa. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Ibrahim kepada ALLAH itulah, yang menjadikan kasih Ibrahim kepada Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.

  Korban tidak susah jika wujud cinta.Korban sering menjadi tanda cinta.Mereka yang tidak mahu berkorban kerana cinta,ada nifaq pada pengsaksian cintanya.

  Berat sungguh rasanya untuk saya menulis mengenai mereka yang bersaksi cintakan Allah,tapi langsung tidak mahu berkorban.

  Berat juga rasanya untuk mengatakan mengenai mereka yang mencanang cinta kepada Muhammad s.a.w ke seluruh alam tetapi merekalah pemain utama dalam percubaan memadamkan sunnah baginda.

  Oh!Sedihnya dengan kemunafikan atas nama cinta.

  Biarlah mereka berbicara atas nama 'cinta' itu di hadapan Maha Esa nanti.

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱسۡتَكۡبَرُواْ عَنۡہَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمۡ أَبۡوَٲبُ ٱلسَّمَآءِ وَلَا يَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ ٱلۡجَمَلُ فِى سَمِّ ٱلۡخِيَاطِ‌ۚ وَڪَذَٲلِكَ نَجۡزِى ٱلۡمُجۡرِمِينَ
  
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Al-A'raf : 40.


Penawar atau racun? 

  Sebenarnya cinta itu penawar atau racun?Kerana semua yang saya nyatakan kisahnya sebelum ini menunjukkan cinta itu penawar,berbeza dengan apa yang dialami dan dirasai masyarakat sekarang.Adakah kisah-kisah itu dari alam yang lain,datang dari buku kisah dongeng...

  Penawar atau racun sesebuah cinta,bergantung kepada pencinta dan apa yang dicintai.Seorang ahli maksiat mencintai maksiat,akan bersama dengan ahli maksiat ketika kehidupan sekali lagi nanti.Cuma malangnya,mereka tidak lagi bercinta di akhirat kelak.


(67)ٱلۡأَخِلَّآءُ يَوۡمَٮِٕذِۭ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلۡمُتَّقِينَ
 The intimate friends on that Day Will be hostile Unto one another save the God-fearing.(Az-Zukhruf:67)


Kesan cinta.

  Cinta mampu menjadikan perspektif menjadi sempit.Cinta sering mengelabui mata manusia.Semua yang dinampaknya adalah cinta hatinya.Cinta juga mampu membuat manusia kecewa seribu rasa.Mampu mengubah cuka menjadi madu.Pasir menjadi gula.Malam menjadi mimpi.Ada yang gembira sehingga ke langit kerana cinta.Juga sedih hingga ke hulu kerana kecewa.

  Tidakkah kita melihat,cinta adalah tanda kekuasaan tuhan di dunia ini?

  Sering kali cinta menjadikan pencinta itu ajaib di mata-mata manusia.

  Ada penawar,ada juga racun!


Tidak terkata saya dengan cinta sahabat kepada baginda s.a.w.


  Di mata saya,zaman ketika manifestasi cinta teragung adalah zaman nubuwwah terakhir.Mereka tidak omong kosong mengenai cinta,tetapi memimpin dunia melalui cinta.Sudahkah anda mencintai mereka?


Suburkan Cinta.

  Yang menentukan penawar atau racunnya sesebuah cinta,adalah diri kita sendiri.Cinta hadir dari Allah kepada hati manusia.Boleh jadi ianya anugerah,ataupun ujian.Mungkin juga kedua-duanya.Jika anugerah,bersyukurlah.Jika ujian,bersabarlah.Natijah syukur atau sabar itulah yang menentukan samada ianya Penawar ataupun Racun.



-Kerana cinta jua aku berbicara-
23/11/2012
Subuh hari.
Mu'tah. 




  


  



Jumaat, 9 November 2012

Aku Rela...

Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta, aku terpaksa

Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…

Biarku tanggung rasa derita..
Asalkan agama, selamat akhirnya..
Yang membantah, hanya berfalsafah..
Kerana bimbang suapan harian

Dengan menjual nama Tuhan..
Lalu kebenaran disingkirkan,
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya

Redha telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini.. aku bahagia

Kerana..
Pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga.

Dr Maza.