Jumaat, 1 Februari 2013

The Great Karak.


    Rabu yang lepas,pulang dari peperiksaan terakhir bagi saya untuk semester ini,saya terus bergegas ke Karak untuk mengambil bungkusan yang di hantar ummi dari Malaysia.Bungkusan yang sudah sampai sejak tahun lepas(27 Disember).Cuaca dan peperiksaan menghalang saya untuk ke pekan Karak lebih awal.Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Karak sejak pulang bercuti dari Malaysia.


   Pilihan pengangkutan awam yang ada dari pekan Mu'tah ke pekan Karak cuma ada tiga pilihan,coaster,van,atau teksi.Dan kerana waktu yang singkat untuk saya sampai ke pekan Karak,saya memilih untuk menaiki van.


   Sepanjang perjalanan,langsung tidak terdengar pak cik pemandu van berkata-kata ataupun mengeluarkan sebarang bunyi dari mulut beliau.Malah ketika berurusan untuk menentukan harga tambang pun beliau hanya sekadar menunjukkan dua jari,2JD.


    Pemandangan sepanjang perjalanan memang sangat indah.Negeri Karak ini negeri yang tandus.Sangat jarang untuk berjumpa pohon.Jadi pemandangan ketika musim panas,apa yang dapat dilihat adalah cuma dataran coklat.Tetapi pemandangan hari itu agak istimewa kerana di atas dataran coklat itu terdapat tompokan berwarna putih.Tompokan salji.


   Jordan baru beberapa hari dilanda salji.Dan waktu itu,salji mula mencair menjadi kristal ais.Ketika ais mencair seperti itu,sejuknya bukan main,menusuk ke tulang.Apa yang terpapar di mata saya ketika itu-dataran coklat dengan tompok putih-adalah seperti tompok di badan lembu New Zealand pada tin susu Fernleaf.Hampir tergelak sendirian saya dibuatnya.Kalau saya tergelak waktu itu,pasti pak cik pemandu akan berfikir,"Peliknya budak ni",sama seperti apa yang saya fikirkan kepada beliau kerana masih tidak bercakap sepatah perkataan pun.


   Sedang saya melayan pemandangan yang asing bagi seorang yang berasal dari khatulistiwa seperti saya,tiba-tiba melintas dua orang gadis di hadapan kami dengan lintasan yang bahaya.Van kami agak brek sedikit dan dalam situasi seperti itu,manusia biasa pasti akan menjerit,tetapi pak cik van tetap membisu infiniti perkataan dan hanya sekadar mengereyet.Saya sudah mendapat konklusi,sebenarnya pak cik van adalah seorang yang bisu.Segala-galanya jelas bagi saya,kenapa beliau tidak pernah bercakap,dan kenapa van tersebut ada bunyi 'beep' sepanjang masa,dan kenapa ada seperti stiker khas di dashboard van tersebut.Saya bertaubat atas segala salah sangka saya.


Akan bersambung dalam artikel yang seterusnya...
p/s:Minta maaf ayat poyo sikit,akibat menulis di pagi buta.