Ahad, 21 Julai 2013

The Great Karak 2


  Malah ketika sapaan terakhir saya kepada pak cik tersebut,dia hanya mengangguk sekadar lalu.Semoga Allah memberkati beliau,itulah kali terakhir saya dapat menaiki van dari Mu'tah ke Karak dengan tambang hanya 2 dinar.


  Setelah bersusah payah untuk sampai ke pejabat pos Karak kerana turun di tempat yang salah,akhirnya sampai juga di pejabat pos tersebut.Cuaca yang agak dingin tidak menginginkan saya untuk berlama-lama di kota ribuan tahun tersebut.


   Antara jam 2-5 petang,suasana di pekan Karak agak sesak sebenarnya.Suasana ketika itu dimeriahkan lagi dengan poster calon-calon yang bertanding untuk PRU Jordan yang ke berapa saya pun tidak pasti sebenarnya.Sepanjang jalan dari Mu'tah ke Karak dipenuhi poster-poster calon yang bertanding.


   Sejujurnya bagi saya sendiri,pemandangan sebegitu langsung tidak menghairankan saya.Situasi di Malaysia jauh lebih meriah,lebih menarik dan kadang-kadang menjengkelkan juga.Isu-isu untuk pilihanraya Jordan sebenarnya juga agak hambar,mungkin kerana kurangnya kepercayaan masyarakat kepada sistem sedia ada.Berlainan pula situasinya dengan Malaysia,isu-isu yang timbul sentiasa panas bak pisang goreng,malah terlalu panas sehingga ke tahap memalukan.


   Lupakan Malaysia,kembali ke kota Karak bersejarah ini.Sejujurnya,tanpa niat memburukkan Jordan,negara ini negara yang agak menyedihkan.Agama,sosial,ekonomi,malah politik mereka agak menyedihkan.Namun begitu masih tetap ada harapan bagi bumi Urdun ini.Ulama' dan para pencinta agama suci ini masih ramai di sini.Ini bumi para sahabat r.a dan anbiya' alaihumussalam.Masih ada politikus yang ikhlas mahu membawa islah kepada negara.Selagi ada iman,matahari belum terbit di barat,selagi itu ada harapan.


Ibrah dari perjalanan di dalam coaster.

  Menaiki coaster untuk jarak dekat,kadang-kadang memerlukan penumpang berdiri atau lebih teruk,duduk di tempat duduk yang akan membuatkan kita menghadap ke arah penumpang yang lain.Semua orang boleh melihat kita dan apa yang kita lakukan.Sungguh kekok,dan apa yang menjadikan ia lebih kekok adalah,saya terpaksa duduk di situ pada waktu itu.


  Berbetulan dengan kehangatan PRU se-Jordan ketika itu,tajuk yang dibahaskan oleh para pak cik di dalam coaster adalah mengenai calon yang mereka mahu pilih,pembawakan calon-calon,kabilah mana yang mereka bersama dengannya.Kedudukan mereka di kiri dan kanan saya.Sungguh bersemangat mereka berhujah sehingga sukar untuk saya fahami apa yang mereka katakan.Isu nasional hingga ke isu setempat tidak ditinggalkan.Malang-semalang-malangnya,dalam kehangatan perbincangan mereka itu,kehangatan air liur mereka juga singgah di muka saya sehingga muka yang dingin menjadi hangat,telinga yang putih menjadi merah.


  Kesimpulan yang dapat saya berikan berdasarkan kejadian hari tersebut,apabila mereka yang bukan ahli sesuatu perkara mengulas mengenai sesuatu,maka orang yang berada di luar perbincangan juga akan terkena mudharat.

Rindu nabi,ahlussunnah dan semua ummat Islam sepakat dengan rindu dan cinta kepada nabi.