Ahad, 24 Ogos 2014

Orang Kita.



  Manusia adalah makhluk yang hidup berkumpulan.Sama seperti beribu-ribu spesis kehidupan yang lain.Mereka bergantung hidup antara satu sama lain untuk keberlangsungan hidup masing-masing.Sistem sosial yang manusia amalkan, kalau diberi ruang sedikit untuk mata, kita akan nampak sistem yang sama diamalkan oleh makhluk lain.Walaupun kadang-kadang,manusia suka menyendiri.


 Orang Kita.

  'Orang Kita', gelaran yang manusia gunakan untuk memanggil manusia lain yang sama dengan dia.Tidak kiralah persamaan itu samada bangsa, agama, puak, kumpulan dan sebagainya.Tanda aras persamaan itu kekal subjektif.


  Manusia hakikatnya lebih banyak persamaan dari perbezaan.Tetapi mereka lebih suka memandang perbezaan dan kemudian mengkelaskan sesama mereka mengikut persamaan.Sebagai contoh,"Aku Melayu, kau Cina, dan dia India".Manusia selalu menyangka mereka makhluk yang terlalu kompleks dan rumit, sedangkan mereka tidaklah seterlalu kompleks dan rumit seperti yang mereka sangka.Ya, mereka hidupan yang unik mungkin.


  Tiada manusia yang mahu hidup bersendirian untuk jangka masa yang lama walau bagaimana pun kerasnya pendirian dia.Pasti dia akan mencari teman, pasangan, kelompok, dan seterusnya dipanggil "Orang Kita".


  Manusia selalu berilusi bahawa "Orang Kita" ini mempengaruhi kebenaran.Mereka beranggapan apa yang mereka bersama sesama "Orang Kita" itu setuju, maka itulah kebenaran.Walaupun kadang-kadang mereka tahu apa yang mereka buat itu salah, tetapi kerana bersama "Orang Kita", mereka mahu kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka yang mengikut kebenaran.


  Seseorang yang yakin dengan kebenaran yang diperjuangkan akan menjadi lemah jika tanpa teman seperjuangan yang memahami.Lihat sahaja bagaimana Nabi Allah Yunus a.s yang menjadi lemah semangatnya kerana kaumnya yang menolak dakwah baginda sebelum baginda ditegur secara halus oleh Allah.Begitulah kuatnya pengaruh "Orang Kita".


  Seorang zalim juga akan menjadi berani dan bongkak dengan perjuangannya kerana penyokong yang ramai dan kuat.Lihat sahaja As-Sisi yang masih berani menyuarakan keinginan untuk menjadi ketua negara Mesir.Tanpa segan silu,ibarat lelaki bogel di jalanan,dia mahu menjadi pemimpin kepada mereka yang telah dia khianati.Dia menempah siksa dan laknat atas diri sendiri.Begitulah kuatnya pengaruh "Orang Kita".Memberi ilusi kepada penzalim bahawa dia benar,berani,dan kuat.Selama-lamanya ilusi akan kalah kepada realiti.


Kesimpulan.


  Kita lihat alam, kita hairan, kalau dunia pun sudah seindah begini, maka bagaimana pula syurga?Maka syurga yang indah itu, tiada yang indah melainkan yang indah-indah belaka sahaja layak berada di situ.Adam dan Hawa itu, mereka itu asalnya dan kampung halaman mereka adalah syurga.Maka, dapatlah disimpulkan akan keindahan mereka.Jadinya, anak cucu keturunan mereka, kenapa ada yang terlalu hodoh rupa dan kelakuan mereka?Apa benar mereka ini dari keturunan lelaki dan perempuan syurga?


  "Orang Kita", biarlah yang akhir nanti indahnya abadi.Indah dihati sehingga memancar di wajah cahaya kejujuran.Ramai sahaja orang yang rupa mereka cantik tetapi tidak indah, hati mereka busuk.Ramai juga disangka sahabat, rupa-rupanya pisau dalam lipat.Biarlah "Orang Kita" yang setia dengan kebenaran hingga mati, mengakhir keabadian dengan keindahan di tempat yang segala keindahan terkumpul abadi, syurga.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan